Monday, August 27, 2007

ABDUL RAZAK AHMAD DALAM KENANGAN

(Ucapan Norman Fernandez di Majlis Mengenang
Abdul Razak Ahmad pada 26hb Ogos 2007
Hotel Selesa, Johor Bahru)

Hadirin yang dihormati,

Hari ini genaplah tiga minggu pemergian Sdr Abdul Razak Ahmad ataupun lebih dikenali dengan panggilan Razak Ahmad. Sdr Razak Ahmad yang lahir pada 6hb Jun 1939 menyahut seruan Allah pada hari Ahad 12hb Ogos 2007.

Hari ini kita bersama-sama rakan-rakan kenalan dan sahabat Razak Ahmad berhimpun dimajlis peringatan ini untuk mengimbas kembali dan mendengar coretan perjalanan hidup serta perjuangan politik Sdr Razak Ahmad. Hari ini kami berhimpun untuk memberikan penghormatan terakhir kepada seorang insan yang cukup dihormati dan disanjung ramai.

Bagi pihak DAP Negeri Johor, izinkan saya untuk menyampaikan rasa takziah kepada isteri Sdr. Razak Ahmad, Pn Kintan Mohd Amin, anak-anaknya Zulkifli, Juliah, Faizal dan Azlina diatas pemergiannya.

Hadirin,

Saya berasa sungguh bertuah kerana dapat mengenali Sdr Razak Ahmad secara peribadi. Sdr Razak Ahmad seperti saya adalah peguam yang menjalankan amalan guaman di Johor Bahru. Sdr Razak Ahmad adalah graduan Undang-Undang dari Universiti Singapura dan diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya pada 10hb September 1973.

Sebagai peguam, beliau terkenal sebagai sebagai seorang yang beretika apabila menjalankan tugas dan mendapat penghormatan bukan sahaja dari peguam yang lain tetapi juga dari hakim-hakim. Beliau menjadi pembela kepada yang tersisih dan tertindas. Beliau pernah membela orang-orang kampung kawasan Gelang Patah yang kehilangan tanah dibawah Akta Pengambilan Tanah dan pernah mengingatkan orang-orang Melayu di Gelang Patah agar jangan tergoda dengan habuan yang ditaburkan untuk tanah-tanah mereka. Suatu hari “apabila wang yang diterima kamu hari ini habis, kamu akan insaf dengan tindakan silam kamu. Tanah orang Melayu yang terlepas takkan kembali.”

Sekali lagi apabila Wilayah Pembangunan Iskandar di lancarkan, Sdr Razak Ahmad mengingatkan orang Melayu kepada apa yang terjadi di Gelang Patah dahulu untuk dijadikan iktibar. Pernah suatu hari semasa saya berbincang dengan Sdr Razak Ahmad tentang WPI, beliau dengan nada sayu meluahkan, jika orang Melayu tidak sedar, WPI akan melihat kepada kehilangan lebih banyak tanah orang Melayu. Masanya akan datang bila orang Melayu tidak akan memiliki tanah. Peringatan kepada nama “Tanah Melayu” akan hanyalah kepada peninggalan silam yang terukir pada koc Keretapi Tanah Melayu. Semoga rakyat di WPI mengambil iktibar dari amanat Sdr Razak Ahmad.

Sebagai orang politik, saya mula mengenali Sdr Razak Ahmad secara terdekat semasa kemelut politik sekitar tahun 1998. Namun perjuangan politiknya sudah bermula ketika Sdr Razak Ahmad menuntut di Universiti Singapura tahun. Idealisme dan semangat untuk berkhidmat kepada rakyat membuatnya menceburkan diri dalam Parti Rakyat dan di penghujung hayatnya beliau bersama dengan Parti Keadilan Rakyat. Apa yang boleh diperhatikan ialah kepercayaan dari awal lagi kepada konsep multiculturalism.

Walaupun berkali-kali Sdr Razak Ahmad bertanding dalam pilihanraya namun tuah kemenangan tidak memihaknya. Paling dekat ialah pada tahun 1986 apabila Sdr Razak Ahmad kalah di DUN Tanjung Puteri dengan 22 undi dan kemudian kesahihan keputusan ini telah dicabarnya di Mahkamah yang akhirnya memutuskan bagi pihak Sdr Razak Ahmad. Dalam pilihanraya kecil Sdr Razak Ahmad sekali lagi kalah dengan hanya 31 undi.

Hadirin,

Sdr Razak Ahmad akan dikenali sebagai seorang insan biasa yang sedia kedepan dan berani berdiri bersama rakyat yang tersisih dan tertindas. Sdr Razak Ahmad menabur budi membela nasib rakyat tanpa memikir tentang ganjaran peribadi mahupun keselesaan diri untuknya. Bayangan hukuman undang-undang sama sekali tidak mengoyahkan perjuangannya.

Sehingga hari ini ramai masih memperkatakan bagaimana pada tahun 1974 Sdr Razak Ahmad menunjukkan solidaritinya bersama dengan hampir 200 warga setinggan yang kehilangan tanah dirampas pihak berkuasa dan berkhemah bersama mereka di perkarangan Bukit Timbalan. Sdr Razak Ahmad ditangkap dan ditahan dibawah ISA dan kemudiannya diletakkan dibawah Restricted Residence selama dua tahun. Kesalahannya hanyalah kerana tampil membela nasib warga setinggan Tasek Utara.

Bagi ramai, tahanan dalam ISA sudah cukup untuk melunturkan semangat politik. Tetapi bukan bagi Sdr Razak Ahmad. Semangat menegakkan keadilan tetap berkobar dan keinginan berjasa untuk insan tertindas tetap disanubari.

Pada tahun 1986, melihat kepada kekejaman Zionis terhadap rakyat malang Palestin dan untuk menarik perhatian kepada ketidakadilan di bumi Palestin, Razak Ahmad membantah kedatanganan Presiden Israel Chaim Herzoq ke Singapura. Beliau memberanikan diri berbaring di landasan keretapi Johor Bahru untuk menghalang tren KTM menghala ke Singapura. Razak Ahmad membuat sedemikian bukan untuk meraih publisiti murahan tetapi untuk membuka mata rakyat dan dunia kepada keperitan rakyat Palestin dan menghantar mesej kepada rakyat Palestin bahawa masih ada yang bersamamu.

Sekali lagi pada tahun 1995, Sdr Razak Ahmad menjadi perhatian.
Pantai dan laut adalah kurnia tuhan untuk manfaat rakyat. Tetapi pihak berkuasa apabila ditaburkan ringgit dan janji indah sanggup memfaraidkan persisiran pantai Lido kepada pemaju mengunakan alasan kononnya ingin melaksanakan pembangunan tepi pantai pada hal pembangunan sebelah pantaipun belum terlaksana.

Sdr Razak Ahmad mengambil tindakan untuk mencabar keputusan pihak kerajaan Negeri dan menyaman Majlis Bandaraya Johor Bahru. Malangnya Sdr Razak Ahmad bukan sahaja tidak berjaya dan dipaksa membayar kos tetapi lebih memilukan ialah hakim kes dalam penghakimannya menyelar Sdr Razak Ahmad sebagai “tukang sibuk”.

Kini apabila rakyat melalui tepian jalan pantai Lido kita boleh lihat melihat bagaimana cerucuk-cerucuk besi menjadi mercu tanda projek terbengkalai.

Saya pernah mengarang sebuah sajak tentang isu ini dan izinkan saya untuk mendeklamasikan sajak berjodol :-

BANDARAYA TERAPUNG AIR

Cecucuk-cerucuk besi di bibir pantai
yang dipukul ombak Tebrau
adalah testamen
angkara dan keangkuhan politikus-politikus
yang tergoda janji saudagar-saudagar impian
sehingga sanggup sekongkol menggadai pantai untuk ringgit

Dimanakah mereka kini
politikus-politikus dan adikara
yang memperlekeh suara-suara kerdil
mencerca mereka sebagai abar-abar.

Dimanakah hakim lagi arif
yang membidas peguam sebagai “busy body”
malah disuruh membayar kos
salahnya cuma mencari pengadilan
Kini siapa yang betul ?

Di bibir pantai
papan iklan yang dimamah mentari
masih degil mendabik menjaja impian yang sudah lama pudar.
Dibibir pantai
Cerucuk-cerucuk besi yang lama terbengkalai
aib berdiri sebagai mercu kegagalan.

(Info Johore Bar Sept 2002)


Hadirin yang di hormati,

Saudara Razak Ahmad pernah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri dan pernah menjadi Timbalan Pengarah Tanah dan Galian. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Kerja FELDA dan pada masa itu Pengerusinya ialah Tan Sri Musa Hitam.

Hadirin, bolehlah bayangkan dengan jawatan-jawatan tinggi yang dipegangnya berpeluang untuk Sdr Razak Ahmad menikmati hidup yang lebih senang sememangnya sudah terbentang luas. Kontrak-kontrak kerajaan senang di bolotnya, menjadi Pengarah Syarikat-syarikat papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur bukannya sukar. Pinggat Datuk dan Tan Sri hanya menanti masa. Malah menjadi seorang menteri tidak begitu mustahil.

Namun, untuk menghirup dunia senang lenang hanya boleh jikalah Razak Ahmad mengabdikan diri kepada wang ringgit dengan menutup mata kepada kesemua ketidakadilan, jika Razak Ahmad sanggup bersekongkol dengan ahli politik tidak bermaruah dan memekakkan telinga kepada ratapan rakyat dan jikalah Razak Ahmad sanggup membisu dan tidak membicarakan rentetan rakyat biasa dan sedia menjadi pak turut mengipas punggung si politikus keparat.

Malah dizaman serba senang ini, bukan senang untuk mencari peguam yang sanggup berjuang bersama barisan alternatif membela rakyat yang tertindas kerana takut-takut disenarai hitam dan tidak diletakkan dalam panel bank dan pemaju.

Tetapi Sdr Razak Ahmad bukan orang sedemikian yang boleh dipancing dengan wang, jawatan dan pangkat. Kerana itulah sepanjang hayatnya dan sehingga Sdr Razak Ahmad menghembuskan nafas terakhirnya Sdr Razak Ahmad melaksanakan perjuangan politiknya yang penuh dramatis dan penuh pengorbanan dengan caranya yang tersendiri. Prinsip pegangan hidupnya dan prinsip perjuangannya hanyalah satu untuk rakyat dan hanya untuk rakyat.

Benarlah bak kata ungkapan Melayu lama seperti yang terpapar dalam kad jemputan ke majlis ini “harimau mati meninggalkan belang, Manusia mati meninggalkan nama”.

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang jua.

Budi dan jasa Sdr Razak Ahmad Budi akan tetap dikenang.

Dalam majlis terakhir Workshop Hak-Asasi Manusia anjuran Badan Peguam Johor pada bulan Julai 2007 Sdr Razak Ahmad selepas menceritakan pengalaman politik dan kepeguaman telah memberi nasihat “ I would urge young lawyers to come forward together with senior lawyers whenever you see abuses and take it up”.

Hari ini, Badan Peguam telah kehilangan seorang yang tidak gentar membela yang teraniaya. Hari ini politik pembangkang kehilangan seorang yang lantang bersuara berani berjuang. Hari ini Malaysia kehilangan seorang patriot.

Percayalah, wahai Sdr Razak Ahmad, kamu telah berusaha dengan sebaiknya dan sudahpun sampai di garis akhir. Bersemadilah sahabatku Sdr Razak Ahmad dalam kedamaian abadi.

Norman Fernandez
25hb Ogos 2007