MENUNGGU JOKOWI JOHOR BAHRU
Soalan
cepumas : “Siapakah Datuk Bandar Johor Bahru (anda boleh mengganti bandar Johor
Bahru dengan bandar anda). Saya yakin hampir semua warga Johor Bahru takkan
tahu nama Datuk Bandar Johor Bahru malahan mungkin tidak pernah lihat muncung
hidungnya.
Benak
hati saya sering bertanya apa sebenarnya tugas seorang Datuk Bandar? Adakah
rutin harian ialah mengetik kad kedatangan pejabat tepat jam 8.30 pagi dan
melabuhkan punggungnya dikerusi empuk dan sepanjang hari menari pena membelek
dan menandatangani surat-surat dan menyemak dokumen. Ataupun tugasnya ialah
menyediakan lapuran bulanan dan memakai jubah resmi mempengerusikan mesyuarat
Majlis. Mungkinkah juga tugas Datuk Bandar, mengapit pemimpin-pemimpin tinggi
kerajaan ketika mereka bertandang ke Johor Bahru.
Sebenarnya
apakah itu tugas utama seorang yang diamanahkan tangggungjawab sebagai Datuk
Bandar. Itulah yang hendak diketahui warga Johor Bahru.
Betapa
bezanya gerak-kerja yang dipikul Datuk Bandar dengan Gabenor Jakarta.
Gabenor
Jakarta yang baru, Jojo Widodo alias Jokowi merupakan mantan walikota Kota Solo
yang baru setahun dipilih menjadi Gabenor Kota Jakarta. Seperti Datuk Bandar Johor Bahru yang
bertanggungjawab untuk bandaraya Johor Bahru, Jokowi bertanggungjawab untuk
Kota Jakarta. Berbeza dengan ramai Datuk Bandar di negara kita yang kerja
seharian ialah lebih mengurung diri dalam bilik air-con yang berhias
cenderahati dan gambar-gambar keluarga dan gambar-gambar mesyuarat yang
dihadirinya, Jokowi lebih mahu bekerja diluar kantor dan tidak kekok kulit
dimamah mentari.
Setahun
menjadi Gabenor Kota Jakarta, rakyat melihat Jokowi betapa begitu senang hati
berjalan-jalan memantau kota Jakarta. Jokowi sendiri ke hulu dan ke hilir
memantau kerja yang dijalankan warga kerjanya. Memastikan sampah-sarap
dipunggah, longkang-longkang diselia dengan baik. Malahan sudah juga menjadi
kebiasan untuk Jokowi masa waktu kerja untuk tiba-tiba masuk ke kantin jabatan
dan juga warung menergah warga kerjanya yang sedang ponteng dan melepak disana.
Jokowi begitu gigih menyelesaikan masalah warga Kota Jakarta. Jokowi tidak
hantar wakil tetapi sendiri turun dan mengadakan pertemuan (blusukan) dengan
peniaga-peniaga di Tanah Abang yang pada mulanya enggan berpindah tetapi akur
akhirnya untuk berpindah ke satu tempat lain. Ini baru satu contoh. Jokowi
sentiasa turun padang menemui, mendekati dan berdialog dengan rakyat. Warga
Kota Jakarta merasai akhirnya ada seorang Gabenor Jakarta yang benar-benar
berjiwa rakyat dan begitu komited terhadap Kota Jakarta.
Jokowi
sendiri turun padang merasai kemacaten yang mencengkam kota Jakarta, mereda
jalan-jalan di kota Jakarta yang dilanda banjir. Beliau berkongsi merasai
keperitan dan masalah rakyat. Jokowi sendiri masuk ke kawasan-kawasan yang
didiami rakyat yang miskin dan sudah pun merangka pelan perumahan untuk mereka.
Beliau begitu proaktif mencari dan terus merancang jalan penyelesaian. Untuk
kemacetan rancangan untuk monorel sudah diumumkan. Untuk masalah banjir, sudah pun
dimaklumkan rancangan. Seperti yang dilakukan ketika menjadi walikota Kota
Solo, Jokowi juga mendukung seni dan ingin menjadikan Kota Jakarta sebuah pusat
seni seperti Kota Solo. Malahan, beliau mahukan seni dikongsi semua dan justeru
itu banyak program seni dijalankan bukan di dewan dan panggung tetapi
ditanah-tanah lapang untuk membolehkan rakyat biasa juga menikmati seni.
Disamping
itu, Jokowi yang amat prihatin dan mendekati rakyat dan khususnya dengan
golongan yang miskin dan terpinggir melaksanakan program-program mesra rakyat
seperti program kesihatan gratis, program pendidikan gratis dan pelbagai lagi
program.
Setahun
menjadi Gabenor Jakarta, rakyat dan kota Jakarta sudah mulai merasa perbezaan.
Jakarta sudah mula berubah.Tidak hairanlah Jokowi dinobatkan sebagai Datuk Bandar
yang ketiga terbaik didunia. Pernah mana-mana Datuk Bandar dari Malaysia? Malahan,
kini ramai yang sedang memujuk Jokowi untuk bertanding jawatan Presiden
Indonesia.
Bagaimana
dengan Datuk Bandar Johor Bahru. Adakah dia juga seperti Jokowi turun padang.
Kalau benar beliau turun ke padang, maka tertanyalah soalan mengapa jalan-jalan
di Johor Bahru penuh dengan lubang-lubang jalan. Pada hal jika kita merentas
Tambak Johor dan sepanjang 29 kilometer atau setengah jam perjalanan dari Johor
Bahru ke Queen Street, Singapura tidak akan kelihatan satu lubang jalan pun
mahupun mendapan di jalanraya. Apakah kontraktor Cina Singapura pandai menurap
jalan ataupun kontraktor Melayu yang mahir dan berkebolehan dipinggirkan. Ada
orang mengatakan singkatan JB itu ialah Jalan Berlubang. Malukan wahai Datuk
Bandar ?
Pernah,
Datuk Bandar keluar pejabat menjengok sendiri longkang-longkang dan
kawasan-kawasan belakang kedai. Bersih ke, wahai Datuk Bandar ? Cubalah lihat,
takungan air dalam pasu bunga dekat bus-stop depan pejabat MBJB yang penuh
dengan jentik-jentik. Hairankah mengapa banyak kes denggi di Johor Bahru.
Mengapa pemerintah kota Singapura boleh membuat kota Singapura begitu bersih
tetapi Datuk Bandar Johor Bahru sukar untuk melakukan untuk Johor Bahru. Kadang-kadang
saya senyum sendiri melihat billboard yang mengumumkan Johor Bahru bandaraya
antarabangsa 2020. Nak turap jalan pun tak boleh buat dengan betul, mengimpikan
nak jadi Bandar antarabangsa pula.
Ada orang
mengatakan singkatan JB ialah untuk Jenayah Banyak dan sememangnya banyak
kes-kes jenayah di Bandar Johor Bahru ? Nak Tanya sikit, agaknya berapa CCTV
yang telah dipasang oleh MBJB di tengah bandar untuk memantau kawasan
sekeliling. Juga adakah CCTV yang telah dipasang Majlis dalam keadaan baik dan video
tangkapannya membantu pihak polis. Sampai hari ini belum saya mendengar
penangkapan penjenayah oleh pihak polis berdasarkan maklumat CCTV.
Juga,
wahai Datuk Bandar, pergilah mendekati warga miskin yang mendiami PPRT dan
flet-flet. Saya pernah ke Flet Larkin. Apakah salah mereka sehingga mereka
perlu menghadapi kehidupan sebegini. Sebuah flet yang saya kunjungi berkulat
sehingga ke syiling. Lif pula berbau hanyir dek air kencing.
Datuk
Bandar, ini juga saya nak tanya. Dalam keghairahan memastikan Johor Bahru penuh
dengan kondominium mewah yang mencakar langit dan harga yang tidak mampu
beli-milik oleh warga Johor, saya nak tanya jika Datuk Bandar ada juga
memastikan adanya padang-padang permainan untuk riadah dan bermain bola. Pantai Lido anugerah tuhan untuk rakyat, kini
tinggal kenangan sahaja kerana sudah tukar wajah menjadi kawasan kondo ekslusif
milik orang kaya. Jadi kalau warga setempat nak main bola waktu petang, nak ke
mana Datuk Bandar ? Pernah tanya mengapa anak-anak muda lelaki dan perempuan
berpeleseran di shopping center ?
Kerana
itulah saya seperti ramai warga bandaraya Johor Bahru mengimpikan dan menanti
seorang Jokowi untuk Johor Bahru yang akan faham, berkhidmat dan berkomited
kepada bandaraya Johor Bahru dan warga Johor Bahru.
Akhir
kata, sesiapa tahu mengapa terburu-buru Datuk Bandar Johor Bahru yang hanya
dilantik Ogos 2011 ditukar dengan Datuk Bandar baru pada Julai 2013. Ada
apa-apa ke ?
Oh by the
way, jawapan pada soalan cepumas ialah Datuk Bandar Johor Bahru sekarang ialah
Tuan Hj Ismail Bin Karim.
Selamat
bertugas Datuk.