Saturday, August 28, 2010

SAIDINA UMAR SEMBAYANG DI DALAM GEREJA - DATO MAHFUZ OMAR. SEJAUH MANA BENAR ?

Laman web Harakah http://www.harakahdaily.net/ pada 28hb Ogos 2010 telah menerbitkan berita 'UMNO Tentang Majlis Fatwa' dimana dalam rencana memaparkan isu Ahli Parlimen Serdang Y.B Teo Nie Ching melawat dan memasuki surau Al- Huda di Kajang ahad lalu.

Mengulas isu tersebut, Naib Presiden PAS Dato Mahfuz Omar dilapurkan telah menyatakan " Umat Islam dibenarkan melakukan sembayang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al- Khattab telah pernah melakukannya".

Saya dengan rendah diri terpanggil untuk mengulas apa yang diutarakan Dato Mahfuz tentang Saidina Umar dikatakan pernah sembayang di dalam gereja.

Di dalam Kitab itman al-Wafa' fi sirah al-khulafa, tulisan as-Syeikh Muhammad Bin al- Affifi al- Banjuri, Darul Ibnu Haziam di m/s 14 dinyatakan:

" Dan apabila masuknya saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut. Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata saidina Umar kepada Patriach gereja tersebut, "saya ingin solat".
jawab patriach, "Solat sahaja disini".

Tetapi Saidina Umar menolak cadangan Patriach dan bersolat di luar tangga yang berada diluar hadapan pintu masuk gereja secara bersendirian. Selepas Saidina Umar selesaikan solat asar, beliau masuk ke dalam gereja dan mengatakan kepada Patriach, " sekiranya saya mengerjakan solat tadi didalam gereja tuan, saya merasa pasti bahawa umat Islam pada zaman akan datang akan menyatakan bahawa Saidina Umar mengerjakan solat didalam gereja ini, maka kita boleh menukarkan gereja ini kepada masjid untuk melaksanakan solat di dalamnya"

( Juga layari http://www.ibnuhasyim.com/)

Saya percaya inilah toleransi dan kibijaksanaan Saidina Umar, sehingga ada pemimpin bukan Islam seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ingin mencerminkan pentadbirannya mengikut pentadbiran Saidina Umar.

Saidina Umar sebenarnya boleh sembayang di dalam gereja, jika Saidina Umar ingin berbuat demikian apatahlagi telah telah dijemput dan di-izinkan Patriach gereja. Tetapi Saidina Umar menolak jemputan Patriach dan sebaliknya memikirkan tentang tindakan yang boleh berlaku dimasa akan datang jika Saidina Umar mengerjakan solat didalam gereja.

Justru itu apa yang diutarakan oleh Dato Mahfuz adalah tidak tepat apabila mengatakan Saidina Umar pernah sembayang dalam gereja dan adalah satu kenyataan tidak tepat. Lagipun, adalah kurang menyenangkan mendengar kenyataan yang selah-olah mengatakan orang Islam boleh sembayang di dalam gereja pun. Takut nanti ada orang berdasarkan kenyataan Dato Mahfuz menceroboh masuk ke dalam gereja dan melakukan ibadah di dalam gereja.

Bukan niat saya sama sekali untuk menegur Dato Mahfuz tetapi untuk menjelaskan yang sahih yang setakat saya tahu. I stand corrected.

Monday, August 23, 2010

DANGKALNYA MENYALAHKAN HARI VALENTINE UNTUK PEMBUANGAN BAYI

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan baru-baru ini telah membuat satu pendedahan bahawa Valentine Day dan sambutan Tahun Baru adalah antara penyebab utama gejala pembuangan bayi. Lebih sensasi ialah dakwaan bahawa pembuangan bayi memuncak pada sekitar bulan Julai sehingga September yang mengikutnya ialah ‘musim pembuangan bayi’.

Tertarik saya untuk bertanya dari mana atau keputusan kajian mana yang digunakan Nasruddin untuk menyokong hujahan dangkal ini. Tidak salahlah apabila saya mengimbas kata-kata Abraham Lincoln yang pernah menyatakan “It is better to remain silent and be thought of a fool than to open one’s mouth and remove all doubt”.

Tidak dapat dinafikan bahawa gejala pembuangan bayi sudah mulai menjadi satu masalah sosial, tetapi tidak masuk akal sama sekali bahawa masalah pembuangan bayi boleh dan atau wajar dikaitkan dengan Valentine Day dan sambutan Tahun Baru. Mengambil analisis sibendul ini, malam mengawan sambutan Tahun Baru ialah 31hb Disember, seperti yang didedahkan sibendul ini dan musim pembuangan bayi adalah bulan Julai sehingga September. Tapi jika congak tolak-campur tempoh antara malam mengawan hingga musim membuang ialah lebih kurang 9 bulan yaakni bulan Oktober dan lebih tepat 10hb Oktober (Sembilan bulan sepuluh hari) dan jika pasangan mengawan pada 14hb Februari (Hari Valrentine) maka hasil membuah pada bulan November dan lebih tepat pada atau 24 hb November (sembilan bulan sepuluh hari). Mungkin salah kira kot ?

Tetapi itu bukan menjadi jawapan saya kepada hujahan dangkal. Persoalannya ialah mengapa hanya menyalahkan dan secara khusus Hari Valentine dan sambutan Tahun Baru. Mungkin lebih senang, kot untuk menyalahkan upacara kebaratan daripada upacara-upacara tempatan.
Jika hari Valentine hendak di sasarkan, mengapa tidak disasarkan juga karnival Jom Heboh, Gegaria dan lain-lain karnival tempatan yang berlangsung diseluruh negara hampir setiap bulan. Melihat anak-anak muda lelaki dan perempuan hayal syok dengan acara hiburan dan konsert yang menjadi sajian utama karnival-karnival ini dan kemudian berpeleseran sehingga embun pagi, mungkin juga boleh diandaikan aktiviti mengawan rancak juga berlaku. Kalau setiap bulan atau dua dulan sekali acara seperti ini diadakan, gejala pembuangan bayi pun mestilah sepanjang tahun.

Daripada menyalahkan Hari Valentine dan sambutan Tahun Baru, mungkin elok kita bertanya mengapa masalah ini begitu berleluasa di kalangan masyarakat Melayu. Seorang blogger terkenal Syed Akbar Ali menulis dalam laman blognya www.outsyedthebox.blogspot.com melontarkan beberapa persoalan. Antaranya persoalan yang diajukan untuk penjelasan ialah :

1. Apa pasal orang Cina tidak ditimpa masalah kes buang bayi, pada hal orang Cina yang menyambut New Year’s Day, Valentine’s Day, Merry Christmas, Hari Raya China dan sebagainya secara besar-besaran?

2. Apa pasal wanita Cina yang tidak memakai jubah, tudung dan lebih selesa memakai baju skirt, seluar pendek, kemeja tanpa lengan, baju singlet dan sebagainya tidak ditimpa gejala buang bayi ini ?

3. Apa pasal orang Cina yang boleh minum arak, boleh menari berpesta, boleh bergaul bersama lelaki dan wanita terlepas gejala sumbang ini ?

Ya, ini jugalah soalan-soalan yang biasa dibisik-bisikkan masyarakat bukan Melayu melihat gejala pembuangan bayi yang begitu kerap berlaku. Jangan pula katakan bahawa masyarakat Cina lebih toleran atau boleh menerima anak luar nikah. Masyarakat Cina dengan kebudayaan dan tatasusila lebih 5000 tahun tidak menerima dan tidak setuju dengan anak luar nikah. Anak-anak Cina dididik dari awal tentang memelihara diri dan menjaga maruah dan tidak mengaibkan keluarga dan biarpun dibenarkan dan diberikan kebebasan begaul sosial tetapi dingatkan jangan sampai tahap menghamil.

Daripada menyalahkan Hari Valentine, Santa Klaus dan sebagainya, adalah lebih baik Nasruddin (dan seangkatan dengannya) mencari sebab dan punca mengapa gejala pembuangan bayi (dan sumbang mahram) begitu kerap berlaku di dalam masyarakat Melayu.

Pengamatan saya mendapati, institusi ikatan kekeluargaan dalam masyarakat Melayu telah banyak berubah. Jika dulu dikampung anak dijaga keluarga dan diawasi masyarakat setempat. Pergaulan ada batasnya dan tatasusila menjadi pegangan harian. Tetapi kini, kehidupan di bandar telah banyak membawa kepada perubahan. Ikatan kekeluargaan mula berlerai. Lihat sahaja anak-anak Melayu dan khususnya gadis-gadis Melayu yang berpeleseran dan merempat di pusat-pusat beli belah, tempat hiburan seperti arked video dan sebagainya. Tempat-tempat inilah menjadi tumpuan lelaki dan permulaan pergaulan bebas yang diakhiri dengan pembuangan bayi.

Selain daripada ini, tidak dapat dinafikan angka kes cerai paling tinggi dalam masyarakat Melayu. Apabila ayah dan ibu sudah bercerai, siapa pula yang menjaga dan mengawal anak. Anak bebas membawa diri dan bebas bergaul. Tambah pula bila ayah dan ibu bekerja, lagi bebas anak-anak untuk menjalin hubungan. Keadaan rumah juga tidak membantu. Anak 10, bilik 2.
Dengan suasana rumah sedemikian, tanyakanlah kemana anak-anak lebih selesa berada pada waktu lapang atau melepak? Sudah tentu ditempat-tempat awam. Anak orang kaya bolehlah pergi melepak ke kelab, main golf, duduk melayar komputer di Starbuck, bersenam di gym dan sebagainya. Tapi anak-anak muda Melayu, mereka hendak kemana kalau tidak berlegar di tempat awam. Adakah kemudahan riadah yang sesuai dan aktiviti-akti bermanfaat di rancang dan disediakan pihak berkuasa ditempat-tempat perumahan awam? Malam minggu lain pula ceritanya. Mulalah aktiviti merempit. Majoriti yang merempit biasanya dari kalangan orang Melayu.
Ini berlaku bukan sahaja di bandar-bandar besar, malahan di Kuala Terengganu juga. Gadis-gadis belasan tahun pula membonceng merempit dengan pacar mereka. Mungkin malam merempit berkesudahan dengan mengawan diranjang. Kesudahannya bermula selepas itu, apabila tong sampah, masjid dan luar rumah menjadi tempat pembuangan janin atau bayi.

Juga kajian perlu dibuat daripada mereka yang tertangkap membuang bayi. Tanyakan mengapa mereka terlanjur. Lakarkan profil golongan ini. Siasat latar belakang dari segi kerja dan pendidikan mereka. Jawapan mungkin diperolehi dan yang pasti ialah mereka tidak terlanjur kerana hari Valentine, sambutan Tahun Baru atau tergoda dengan Santa Klaus. Sebaliknya, mungkin golongan ini memerlukan perhatian pihak berkuasa.

Pendek kata, siasatlah dengan akal dan fikrah mengapa gejala pembuangan bayi kini begitu berleluasa dan kekerapan dan bukannya melontar melulu hujahan dangkal menyalahkan Hari Valentine, sambutan Tahun Baru. Dengan hujahan dangkal yang diutarakan Ketua Pemuda PAS, mungkinkah beliau akan menyalahkan minuman Coca-cola sebagai sebab mengapa sumbang mahram berlaku. Kita tunggu.

Postskrip
Pada hari Ahad, 22hb Ogos 2010, Ketua Pemuda PAS mengumumkan bahawa PAS kini menyarankan nikah khitbah atau nikah gantung sebagai satu cara untuk menangani pembuangan bayi.