Friday, November 30, 2007

ABIM, SIAPA YANG PATUT BERTENANG?

ABIM, hari ini melalui pengerusinya Yusri Mahmud menggesa rakyat pelbagai kaum agar bertenang dan juga merayu masyarakat Islam agar jangan mencetuskan sebarang reaksi yang tidak wajar, semata-mata kerana HINDRAF dalam memorandumnya telah menggunakan perkataan-perkataan seperti “pembersihan kaum”, “penjajahan kekal”, “extremis Islam”, “geng Melayu”. ABIM menganggap kesemua perkataan-perkataan ini berunsur hasutan dan berbau subversif.

Saya bukan seorang cauvanis, malahan bukan ahli ataupun penyokong HINDRAF. Saya berpegang kepada prinsip bahawa kita boleh menyuarakan apa-apa isu secara beradab dan tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Dalam menuding HINDRAF, ABIM seolah-olah sengaja lupa mesyuarat persidangan perwakilan UMNO 2006. Masih ingatkah bagaimana wakil-wakil UMNO secara terbuka melemparkan pelbagai cemuhan, amaran dan menggayakan aksi-aksi provokasi dan mencabar kaum bukan Melayu. Gelagat dan ucapan wakil-wakil tersebut adalah jauh lebih subversif dan menghasut (jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan HINDRAF). Malahan ucapan dan aksi wakil-wakil ini mendapat sorakan, tepukan gemuruh dan restu daripada yang hadir.

ABIM tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan mengecam tindakan para perwakilan yang melemparkan kata-kata hasutan. Tidak pula ABIM meminta maaf kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum tentang provokasi yang ditunjukkan para perwakilan UMNO mahupun merasa malu dengan tindakan mereka. Pelik bin ganjil ABIM tidak menganggap ucapan-ucapan perwakilan bersifat subversif dan hasutan boleh mencetuskan huru-hara. Tindakan ABIM mendiam diri seolah-olah menunjukkan bahawa ABIM setuju dengan cakap celaru para perwakilan. ABIM juga tidak hilang perasaan. Pelik bin ganjil ABIM yang tidak terkilan dengan kata-kata hasutan para perwakilan UNMO sebaliknya terguris dengan tindakan HINDRAF.

Walaupun, perwakilan UMNO membuat pelbagai ucapan yang rata-rata menghasut masyarakat India dan Cina dan Melayu yang rasional diakhir hari masih tenang dan membiarkan isu yang membara reda dengan sendiri.

Oleh yang demikian, munasabahlah persoalan saya apabila saya bertanya apa muslihat ABIM meloncat masuk gelanggang dan mengapi-apaikan isu HINDRAF ini sehingga menggesa rakyat supaya bertenang.

Persoalan ialah siapa yang tidak bertenang ? Mungkin ABIM kot?

Norman Fernandez.