Monday, November 12, 2007

DARIPADA MEMBIDAS, LEBIH BAIK JIKA DISIASAT

Kebelakangan ini kerajaan sentiasa war-warkan bahawa pelabur-pelabur asing rancak melimpah wang dalam ekonomi Malaysia. Kerajaan pula melancarkan koridor-koridor pembangunan bermula dengan Wilayah Pembangunan Iskandar. Tidak kurang juga di gembar-gemburkan dengan berita wang Arab yang dikatakan semakin hari semakin mencurah ke dalam koridor-koridor pembangunan.

Justeru itu, adalah mengejutkan untuk mendengar Naib Ketua UMNO dalam perhimpunan agung UMNO mendedahkan bahawa ada segelintir syarikat-syarikat swasta negara yang memandang dingin iklim pelaburan di negara ini, kurang yakin dengan peluang pelaburan di negara sendiri sehinggakan ada diantara syarikat-syarikat swasta yang sanggup membawa keluar modal ke luar negara, padahal pelabur dari Asia Barat cukup yakin dengan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Beliau membidas syarikat-syarikat swasta yang tidak berminat mengusahakan dan membangunkan koridor-koridor pembangunan ekonomi tetapi sebaliknya sanggup melabur di luar negara. Tidak kurang juga syarikat-syarikat swasta yang sanggup menarik diri daripada Bursa Malaysia dan membawa keluar modal untuk dilaburkan di negara lain. Contohnya, ada syarikat swasta yang membawa keluar modal untuk dilaburkan dalam industri hiburan luar negara. Apakah syarikat yang dimaksudkan ini adalah Genting Berhad yang pada masa ini begitu liat membuat pelaburan berbilion-bilion di Singapura dalam sektor resort pelancongan dan kasino dalam menjayakan impian Singapura untuk menjadi negara tumpuan pelancongan dan riadah, mesyuarat dan kasino perjudian yang terulung di Asia.

Dalam era globilasasi, kebanyakan negara sedang berlumba-lumba untuk mempelawa para pelabur. Justeru itu tidaklah menghairankan bahawa jika sesebuah syarikat berkeupayaan, ianya juga akan cuba mengembangkan sayap niaganya di mana-mana negara yang boleh memberi perolehan maksimum tanpa dihantui dan dibelengu pelbagai polisi dan karenah kerajaan. Ini lumrah adab niaga. Yang dicari pelabur dan peniaga “maximum profit, minumum fuss”.

Saya percaya daripada kita membidas syarikat-syarikat tempatan yang membawa keluar modal dan giat melabur di luar negara, eloklah kita risik alasan untuk mereka berbuat demikian. Jangan jadikan wang Arab yang masuk sebagai kayu ukuran iklim niaga negara. Pada masa ini dunia Arab dipandang serong oleh negara-negara barat. Pelaburan dari mereka kurang disenangi dan pelabur dan pedagang Arab berbekalkan wang tidak disambut dengan tangan terbuka biarpun dan selepas peristiwa 9-11, menghadapi pelbagai halangan dan rintangan di dunia Barat. Justeru itu, Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju meraih tuah memasuki radar niaga mereka dan memberi satu destinasi dan pilihan selamat bagi wang Arab. WPI sudahpun berusia hampir setahun. Persoalannya ialah berapa banyak wang yang benar-benar telah dilaburkan di WPI oleh pelabur Asia Barat ataupun apakah yang ditunjukkan pelabur Asia Barat adalah sekadar minat ingin melabur dan janji untuk melabur di WPI. Mungkinkah lebih sudu dari kuah?

Berbalik kepada soalan pokok, adalah wajar untuk Kerajaan mendapat tahu alasan sebenar mengapa syarikat swasta membawa modal keluar ke luar negara dan agak dingin membuat pelaburan di negara ini dan lebih-lebih lagi di koridor-koridor pembangunan yang dilancarkan. Apakah sebabnya? Mungkinkah politik semasa negara, mungkinkah sistem undang-undang dan kepolisian (law and order), mungkinkah kadar korupsi, mungkinkah sistem pelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris, mungkinkah polisi-polisi kerajaan, mungkinkah karenah birokrasi, mungkinkah kerana Malaysia sudah condong dan jadi paksi Asia Barat, mungkinkah pengistiharan Malaysia sebagai negara Islam. Kemungkinan adalah banyak tetapi hakikatnya ialah kebanyakan isu-isu ini telah mengeruhkan suasana politik dan iklim niaga negara ini.

Daripada membidas, lebih baik kita ambil tahu apa yang mula membuat syarikat swasta tempatan gelisah dan rimas dan tidak yakin lagi dengan iklim pelaburan di negara sendiri dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya yang boleh meyakinkan pelabur tempatan.