Tuesday, December 04, 2007

BENARKAH PAS SUDAH UBAH MATLAMATNYA?

Benarkah penubuhan negara Islam tidak lagi menjadi isu? Mengikut Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan baru-baru ini memberitahu bahawa PAS tidak berhasrat menubuhkan negara Islam. Malahan mengikut Anwar Ibrahim, PAS dalam tiga tahun kebelakangan ini tidak bercakap ataupun membangkitkan isu ini lagi.

Kenyataan Anwar, adalah reaksi kepada kenyataan Pengerusi DAP sebelum ini yang mengatakan bahawa DAP hanya bersedia bekerjasama dengan PKR sekiranya PKR memisahkan diri dari PAS.

Rakyat umum masih ingat bahasa PAS, PKR dan DAP pernah pada suatu masa menjadi ahli pakatan Barisan Alternatif. Namun, pengundi-pengundi khususnya pengundi Cina tidak menyokong tindakan DAP bekerjasama dengan PAS. Ini jelas terbukti apabila dalam pilihanraya umum 1999, isu penubuhan negara Islam yang diwar-warkan PAS dikatakan penyumbang kepada kemerosotan undi dan kekalahan kerusi-kerusi DAP di Parlimen dan dewan-dewan undangan negeri.


Pada tahun 2001, DAP keluar dari Barisan Alternatif kerana tidak lagi sehaluan dan sependapat dengan matlamat PAS. Peristiwa 9-11 di Amerika Syarikat dan pengisytiharan unilateral Malaysia sebagai negara Islam oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed mempercepatkan lagi keputusan DAP untuk keluar dari Barisan Alternatif.

Dalam pilihanraya umum 2004, giliran PAS pula untuk melihat kemerosotan undi dan kerusi-kerusi di Parlimen dan dewan-dewan undangan negeri. Jika pada tahun 1999, PAS boleh menawan Terengganu, dalam pilihanraya umum 2004 lain pula musibah yang melanda PAS. Terengganu berpaling tadah memberi mandat memerintah kepada Barisan Nasional. Di Kedah dan Kelantan PAS hilang kerusi-kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya umum 1999.

Pilihanraya 1999 dan 2004 menunjukkan bahawa masyarakat bukan Melayu masih belum sedia dan enggan berkompromi berkenaan dengan isu negara Islam. Ekoran peristiwa DAP keluar daripada Barisan Alternatif dan juga kemerosotan undi dan prestasi PAS dalam pilihanraya 2004, mula melihat PAS melembutkan isu negara Islam. PAS tidak lagi cuba menonjolkan dan mendepankan isu negara Islam.

Anwar, PKR dan PAS tahu betapa pentingnya undi pengundi Cina dan memandangkan ambang pilihanraya sudahpun kelihatan. Kemelut politik negara pada masa ini juga sekali lagi memberi peluang untuk PAS mengulangi kegemilangan 1999. Pengundi-pengundi Cina sekali lagi akan menjadi penentu. Tambah pula dengan pengundi-pengundi India, ada kemungkinan ketidakpuasan masyarakat India mungkin juga ditunjukkan dalam peti undi. Dalam keadaan sedemikian dan lebih-lebih lagi untuk memikat pengundi Cina, PAS nampaknya tidak lagi mendepankan matlamat sebenar PAS. Cita-cita dan niat sebenar PAS kini tersirat dan terpendam.

Sebenarnya tidak apa yang salah berpegang teguh pada cita-cita dan matlamat. Sekurang-kurangnya PAS jujur dan ikhlas dengan niat dan matlamatnya. Tetapi realiti politik negara adalah berbeza. Negara Islam masih tidak boleh diterima orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Kembali kepada isu pokok, persoalannya ialah, benarkah kenyataan Anwar bahawa penubuhan negara Islam tidak lagi menjadi matlamat utama bagi PAS.

Saya percaya kenyataan Anwar adalah tidak benar. Penubuhan negara Islam tetap menjadi dasar dan matlamat PAS. Melayari laman web Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, jelas membuktikan bahawa PAS masih belum berganjak dari matlamatnya. Dalam laman web tersebut, terpapar kenyataan Tuan Guru Dato Nik Aziz dimana Tuan Guru menyatakan “PAS sebagai pembangkang adalah sebagai penegur dan penasihat kepada pemerintah. Seandainya kerajaan pemerintah menukar Perlembagaan dengan meletakkan Islam sebagai wadah perjuangan dan perlembagaan negara, PAS tidak akan menentang. Sebaliknya PAS akan bekerjasama dan bersatu dengan pemerintah demi kedaulatan dan perlembagaan negara”.

Ini adalah kenyataan paling jelas bahawa matlamat PAS tetap sama dan belum berubah. Jika ini tidak cukup bukti, Harakah edisi 1-15 Disember 2007 dengan nyata dan terang menyatakan cita-cita PAS iaitu “menegakkan negara Islam”. Dalam keadaan sedemikian, pengundi bukan Melayu dan khususnya pengundi Cina sudah tentu akan was-was untuk memberi sokongan kepada PKR yang jelas terjerat diantara menonjolkan identiti multi-kulturisma dan sekularismanya tetapi juga menjalin perhubungan dengan PAS kerana survival kerana nasibnya banyak bergantung kepada PAS.

Juga, bagi orang bukan Melayu, kenyataan terbuka Tuan Guru juga membayangi suatu keadaan dimana undi dan sokongan bukan Melayu jika diamanahkan kepada PAS, dalam sekelip mata boleh dikorbankan jika timbul kesempatan yang memberi peluang untuk PAS mencapai matlamatnya. Malahan hari ini ramai terkejut dengan pengakuan PAS apabila PAS dengan terbuka mengakui bahawa PAS dan UMNO kebelakangan ini sering mengadakan perjumpaan membincangkan isu berkaitan Melayu dan Islam.

Justru itu, walaupun isu negara Islam menjadi duri dalam daging untuk PKR, suka atau tidak suka, PKR terpaksa redah dan akur dengan tindak tanduk dan matlamat PAS. Paling kurang dengan tidak menyatakan penentangan terhadap matlamat PAS secara terbuka.

PKR dan PAS perlu memperakui realiti Malaysia. Empat puluh peratus rakyat Malaysia adalah rakyat bukan Melayu dan bukan Islam. Oleh yang demikian biarpun di yakini janji setinggi langit orang bukan Melayu dan Islam tetap tidak sama sekali akan menyokong mahupun sanggup menerima matlamat PAS. Selagi PAS enggan menerima realiti negara ini dan selagi hakikat ini tidak diambil kira, PAS dan PKR akan lemas dalam impian yang tidak tercapai.

Norman Fernandez