Thursday, May 27, 2010

KENAPA PAS TIDAK GEMPUR PREMISES JUAL ROKOK

PAS sebelum ini telahpun menyatakan bantahan terhadap keputusan kerajaan meluluskan pemberian lesen judi bola sepak kepada Ascot Sports, syarikat milik Tan Sri Vincent Tan dan juga telah menghantar memorandum kepada Mufti- Mufti Negeri serta memohon campurtangan kebawah duli Raja-Raja Melayu. Terkini, hari ini, Dewan Pemuda PAS mengambil tindakan lebih drastik untuk “gempur” premises judi.

Mengikut berita yang disiarkan dalam laman web www.harakahdaily.net, Ketua Dewan Pemuda PAS memaklumkan bahawa (ahli) pemuda PAS akan ditempatkan disemua premises judi diseluruh negara dan akan bergilir shif mengedarkan risalah kepada pengunjung dan tindakan ini akan berterusan sehingga kerajaan membatalkan judi bola sepak.

Saya kesal dengan tindakan yang diambil PAS yang juga secara tidak langsung campurtangan dengan hal-ehwal orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Jika PAS yang membantah pemberian lesen judi bolasepak sehingga mahu menggempur premises judi dan mengacau pengunjung ke premises judi yang telah di lesenkan kerajaan, mengapa PAS tidak mengambil tindakan yang sama ke atas premises dan kedai-kedai yang menjual rokok dan atau menangkap orang Islam dan Melayu yang merokok. Paling kurang pun mengapa ahli-ahli PAS tidak diarahkan berdiri ditempat-tempat ini secara shif bergilir mengedar risalah ?

Saya terpanggil untuk bertanya kerana, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia ke-37 pada 23 Mac 1995 memutuskan bahawa amalan merokok adalah haram menurut Islam. Berdasarkan fatwa ini, merokok adalah HARAM. Malahan saya dimaklumkan ada juga beberapa negeri yang telah menggazetkan fatwa ini.

Selanjutnya, izinkan saya untuk memberi sedikit fakta tentang gejala rokok yang boleh merangsangkan PAS untuk menggempur kedai-kedai yang menjual rokok. Pada tahun 2006, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM3 juta sehari atau RM90 juta sebulan membeli rokok. Kira-kira 10,000 daripada empat rakyat Malaysia yang merokok mati setiap tahun antara lain kerana barah paru-paru dan lain-lain sakit kronik yang berpunya dari tabiat merokok. Asap dan kandungan rokok didapati mengandungi 4000 jenis bahan kimia dan 60 daripadanya penyebab utama kanser. Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang mendapati 45-50 remaja mula merokok setiap hari dan 8% daripada mereka adalah pelajar sekolah.

Pernahkah PAS bertanya berapakah peratusan orang Islam dan Melayu yang merokok. Berapakah jumlah yang dibelanjakan wang sehari atau sebulan membeli rokok oleh orang Islam dan Melayu. Berapakah peratusan orang Islam dan Melayu yang meninggal dunia kerana sakit barah paru-paru dan lain-lain kesakitan yang disebabkan dari merokok. Teringat juga firman Allah yang bermaksud “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan” (al-Baqarah : ayat 195). Juga, sabda Rasullah yang bermaksud “ Tidak boleh (menimbulkan) bahaya dan juga tidak boleh merbahayakan (orang lain) (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Kenapa PAS berdiam diri dalam isu rokok dan merokok? Tidak kelihatan dan atau mendengar tentang tindakan-tindakan drastik yang diambil menangani isu rokok dan terhadap perokok. Kenapa Ketua Dewan Pemuda PAS tidak mengarahkan ahli-ahli PAS untuk menggempur kedai-kedai runcit, kedai makan mamak ataupun kedai serbanika seperti 7-11. Kenapa tidak ditempatkan ahli-ahli bergilir shif berdiri diluar kedai-kedai ini ? Kenapa tidak bergilir memantau anak-anak muda yang berpeleseran di kompleks membeli-belah.

Bukankah rokok dan merokok telah diharamkan dengan fatwa kebangsaan. Dimana memorandum-memorandum kepada Mufti-Mufti Negeri meminta negeri-negeri untuk menggazetkan fatwa melarang merokok. Tidak kedengaran, Dewan Pemuda PAS, mememohon kepada duli Sultan-Sultan untuk berkenan menggazet fatwa kebangsaan ini.

Sebaliknya dalam isu judi bolasepak, PAS berpendirian berbeza. Orang Islam dilarang agama berjudi. Dalam premises kedai judi ada papan maklum yang jelas memaklumkan orang Islam dilarang masuk ke premises ini. Jika orang Islam masih hendak masuk berjudi, pihak berkuasa patut tangkap mereka. Tetapi untuk orang bukan Islam dan bukan Melayu, tidak ada larangan berjudi selagi mereka berjudi ditempat yang mempunyai lesen. Walaupun dalam agama dan budaya orang-orang bukan Islam dan bukan Melayu juga nas-nas yang tidak menggalakkan perjudian, tetapi ia tidak sampai menetapkan hukuman jika seseorang berjudi. Jadi saya nak tanya apa PAS nak sibuk-sibuk ni ?

PAS perlu tahu bahawa lesen judi bolasepak yang diberikan kepada Ascot Sports mempunyai syarat-syarat yang ketat. Ascot Sports tidak mendapat apa-apa kelonggaran syarat sampai boleh membenarkan orang Islam dan Melayu untuk masuk premises Ascot Sports dan membuat petaruhan. Orang Islam dan orang Melayu tetap dilarang bukan sahaja berjudi tetapi dilarang masuk premises judi.

PAS perlu tahu bahawa judi bolasepak adalah industri yang bernilai berbilion-billion. Terdapat ribuan situs-situs dalam laman web yang membolehkan kaki bola untuk membuat wang pertaruhan judi bolasepak. Amatlah mudah untuk seorang yang samada tinggal di ceruk Pengkalan Chepa ataupun berlegar di tepi jalan Petaling Street untuk berjudi melalui internet. Selagi dia ada kemudahan internet ( sekarang sudahpun ada modem mudah-alih) dan mempunyai akaun bank, dia mudah membuat pertaruhan. Ini realiti. Berjudi melalui internet begitu mudah.

Di Malaysia, judi bolasepak melalui internet dan lain-lain cara yang tidak sah dianggarkan RM20 Billion setahun. RM20 Billion !. Ini satu jumlah yang besar. Kerajaan pula kehilangan cukai lebih kurang RM4 Billion setahun. Ini fakta.

Justru itu, suka atau tidak, samada judi bolasepak dibenarkan atau tidak, judi bolasepak tetap akan berterusan. Daripada kerajaan kehilangan cukai judi (perolehan cukai dari judi juga tidak digunakan untuk orang Islam ataupun Melayu) adalah lebih baik jika judi bolasepak dibenarkan tetapi judi bola dikawal dan dipantau oleh pihak berkuasa dan melalui undang-undang.

Tan Sri Vincent Tan, sudahpun mempunyai lesen judi untuk Sports Toto. Ascot Sports yang juga dimiliki Tan Sri Vincent Tan, juga boleh menjalankan operasi dari premises yang sama. Tiada perlu buka premises judi yang baru untuk Ascot Sports. Jika pun perlu ada, cukup sekiranya premises Ascot Sports dibuka ditempat-tempat yang sudahpun ada kedai-kedai judi nombor ramalan.

Daripada PAS menggempur premises judi lebih elok jika PAS mendidik orang Islam dan orang Melayu tentang larangan berjudi mengikut Islam. Orang bukan Islam dan orang bukan Melayu tidak memerlukan didikan tentang baik buruk judi dari PAS. Mungkin PAS bermula hari ini boleh mengarah ahli-ahli menggempur kedai-kedai yang menjual rokok dan berdiri diluar bergilir shif mengedar risalah kepada orang Islam dan orang Melayu yang merokok. Jika PAS tidak dapat membantu melaksanakan fatwa kebangsaan mengharamkan merokok, mengapa PAS begitu lantang membantah judi bola sepak?

Mungkin PAS boleh fikir bagaimana hendak menangani lain-lain isu seperti suami yang ghaib atau enggan membayar nafkah, kes-kes buang bayi ataupun gejala rogol anak kandung oleh ahli keluarga yang terdekat, gejala mat rempit dan bohsia dan sebagainya. Bila ada isu-isu seperti ini yang masih belum ditangani atau diselesaikan oleh PAS mengapa isu pemberian lesen judi bolasepak perlu di perdahulukan.

Ini adalah pendirian peribadi Norman Fernandez.
Norman Fernandez adalah kaki bola dan menggilai
pasukan Manchester United tetapi beliau BUKAN
kaki judi bolasepak dan untuk piala dunia
tahun ini akan menyokong Sepanyol.

No comments:

Post a Comment