Tuesday, April 29, 2008

KENYATAAN UMUM - NORMAN FERNANDEZ NAIB PENGERUSI DAP NEGERI JOHOR.

ISU KOMEN ‘DARAH KARPAL SINGH HALAL DI BUNUH’ DALAM LAMAN WEB PAS JOHOR BAHRU

Pada hari Isnin 28hb April 2008 jam 4 petang, lelaki yang telah memuatkan mesej ‘darah Karpal Singh halal dibunuh’ yang telah dimuat dalam kotaklaung (shoutbox) laman web PAS Johor Bahru telah datang ke pejabat saya bersama dengan bapanya dan diiringi beberapa wakil Dewan Pemuda PAS Johor Bahru yang diketuai YDP Pemuda PAS Johor Bahru Sdr Rosli Kemin.

Lelaki Melayu berusia 18 tahun yang menggunakan nama “Alif” (nama sebenar telah diberitahu dan dirahsiakan) dalam laman web tersebut mengakui bahawa beliau adalah orang yang telah memuat mesej dalam laman web PAS Johor Bahru.

Lelaki tersebut adalah seorang pelajar kolej tempatan dan di pejabat saya beliau menulis satu surat kepada Pengerusi DAP Kebangsaan Sdr Karpal Singh.

Didalam surat tersebut, beliau telah menyatakan rasa kesal terhadap apa yang dilakukannya dan meminta maaf daripada Sdr Karpal Singh. Beliau juga berjanji tidak akan meletakkan apa-apa mesej yang yang boleh menyinggung perasaan, ofensif serta menyalahi undang-undang dalam mana-mana laman web. Beliau meminta maaf daripada Sdr Karpal Singh dan merayu agar Sdr Karpal Singh berbesar hati dan bersedia untuk menarik balik repot polis yang telah dibuatnya terhadap lelaki yang memuatkan mesej dalam laman web PAS Johor Bahru.

Seperti yang sedia maklum susulan daripada pendedahan mesej menjemput membunuh Sdr Karpal Singh, satu lapuran polis telah dibuat oleh Sdr Karpal Singh di IPK Pulau Pinang. Siasatan kes tersebut telah di pindahkan ke Johor Bahru. Saya telah dimaklumkan bahawa lelaki tersebut telah menyerah diri kepada pihak polis dan pihak polis Johor Bahru telah merakam satu percakapan dalam siasatan daripadanya.

Saya akan menghantar surat minta maaf daripada lelaki tersebut kepada Sdr Karpal Singh untuk beliau memutuskan tindakan yang selanjutnya. Memandangkan usia mudanya dan kerana janjinya untuk tidak melakukan perbuatan sedemikian dimasa hadapan, saya akan mensyorkan agar Sdr Karpal Singh menerima mohon maaf lelaki tersebut seperti yang di tulis dalam surat tersebut. Saya juga harap Sdr Karpal Singh akan bersedia dan bermurah hati untuk menarik balik laporan polis yang telah dibuatnya.

Norman Fernandez
Johor Bahru