Tuesday, April 29, 2008

PENJELASAN TERPERINCI SERTA KOMENTAR - NORMAN FERNANDEZ NAIB PENGERUSI DAP NEGERI JOHOR.

Isu : MUAT PAMER ARTIKEL MENGHINA AGAMA- AGAMA BUKAN ISLAM DALAM
LAMAN WEB PAS JOHOR BAHRU.

Isu : MESEJ ‘DARAH KARPAL HALAL DIBUNUH’

Minggu lalu, satu artikel Bahasa Inggeris yang membandingkan agama Islam dengan agama-agama bukan Islam dan secara khusus agama Kristian, Buddha dan Hindu telah dimuat papar dalam laman web PAS Johor Bahru.

Saya telah menerima aduan daripada pihak awam berkenaan dengan artikel tersebut. Melayari laman web tersebut, saya mendapati bahawa aduan pihak awam adalah benar. Saya percaya tidak salah untuk pihak PAS meletakkan apa-apa artikel yang mengagungkan agama Islam ataupun bertujuan menegakkan syiar Islam tetapi adalah tidak sesuai untuk memuat pamer artikel yang rata-rata bertujuan dan berniat meremehkan, merendahkan dan menghina agama-agama lain.

Saya telah terus memaklumkan kepada pimpinan PAS rasa ketidakpuasan saya terhadap tindakan pihak PAS memuat pamer artikel yang menghina agama-agama lain. Saya juga telah meminta agar artikel tersebut yang jelas telah di muat turun dari laman lain di keluarkan. Ini tidak dilakukan sehingga kontroversi mesej ‘darah Karpal halal dibunuh’.

Sebelum saya beredar kepada isu seterusnya, saya ingin menyedari sahabat-sahabat dari PAS bahawa jika orang Islam mendapati filem kartun-kartun dalam suratkhbar Denmark ataupun filem Fitna dari Belanda menghina Islam dan mendemonstrasi menuntut maaf, pernahkah PAS berfikir bagaimana perasaan orang bukan Islam apabila PAS memuat artikel yang menghina agama orang bukan Islam. Orang bukan Islam juga mempunyai perasaan dan orang Islam tidak harus berfikir bahawa mereka mempunyai lesen bebas untuk menghina agama dan merendahkan agama orang lain. Allah telah menyatakan agama ku agamaku, agama mu agamamu. Bagi saya agamaku Kristian adalah agama yang cukup sempurna. Tetapi percayalah saya tidak akan merendahkan mana-mana agama yang lain. (Dalam weblog yang seterusnya saya akan menceritakan insiden penceramah yang menghina agama kristian dan lain-lain agama bukan Islam dikhayalak umum dan musibah yang melandanya diakhir hidupnya).

Belum isu ini reda, sekali lagi saya menerima panggilan talipon memaklumkan bahawa seorang lelaki telah meletakkan mesej dalam petilaung (shoutbox) laman web PAS Johor Bahru bahawa Karpal Singh telah menghina Islam serta darah Karpal halal dibunuh. Tergamak saya membaca mesej tersebut apatah lagi bila PAS-DAP-PKR kini bersama dalam Pakatan Rakyat.

Sekali lagi saya telah memaklumkan kepada pimpinan PAS tentang mesej ini dan meminta untuk dikeluarkan serta merta. Namun mesej tersebut tidak dikeluarkan sehingga mesej tersebut mendapat perhatian umum dan media. Akhirnya Karpal Singh sendiri bertindak membuat lapuran polis.

Saya percaya kita harus berhati-hati agar laman web resmi parti tidak disalah gunakan dan wajar menyedari apa-apa kenyataan yang dimuatkan dalam laman web resmi parti harus lah disifatkan sebagai pendirian parti ataupun bersetuju dengan pendirian penulis. Kalau tidak kenapa dimuatkan. Jika ianya dimuatkan atas dasar kebebasan bersuara, setujukah jika ada orang mempersendakan Tuan Guru dalam laman resmi parti misal kata DAP ataupun PKR ?

Saya berhak mempertahankan pemimpin saya. Setakat ini apakah bukti kukuh yang Karpal Singh telah menghina Islam. Selama ini beliau hanya mempertahankan apa yang tersirat dalam perlembagaan. PAS sudah tentu sedar bagaimana tiga hari selepas pilihanraya saya bertikam lidah dan mempertahankan poster-poster Tuan Guru Nik Aziz daripada dikoyak rabakkan oleh pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru. Saya tidak teragak-agak mempertahankan poster-poster Tuan Guru di koyak rabakkan kerana status Tuan Guru sebagai pemimpin dalam Pakatan Rakyat. Saya tidak kesal berbuat demikian dan tetap bersedia mempertahankan mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat.

Semoga kedua-dua isu ini menjadi satu pengajaran untuk kita semua dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

Akhir sekali saya amat berterima kasih di atas kenyataan maaf daripada PAS dan tindakan susulan yang telah diambil.