Friday, January 09, 2009

JOM, BOIKOT RESTORAN YANG MEMBOIKOT COCA-COLA.

Terikut dengan cadangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, pada hari ini satu kempen memboikot restoran dan barangan buatan Amerika Syarikat dilancarkan.

Sebelum ini telah dimaklumkan bahawa, lebih 2,600 restoran Islam di Malaysia tidak akan menjual dan atau menghidang minuman Coca Cola sebagai tanda bantahan kepada Amerika Syarikat.

Saya hari ini mengambil keputusan untuk memboikot restoran yang memboikot atau enggan menjual Coca Cola, bukan kerana saya menyokong apa yang dibuat oleh Israel di Gaza kerana bersolidariti dengan pekerja-pekerja syarikat F&N Coca Cola Sdn Bhd dan lain-lain perniagaan yang berasal dari Amerika Syarikat yang menggajikan orang Melayu.

Mengikut laman web F&N Coca Cola Sdn Bhd, terdapat hampir 1,400 pekerja bekerja dengan syarikat F&N Coca Cola Sdn Bhd. Siapakah agaknya pekerja majoriti di syarikat tersebut? Melayu atau Bangla?.

Saya harap saudara pembaca tidak akan terburu-buru mengikut dan menyokong kempen memboikot Coca Cola dan lain-lain barang buatan Amerika Syarikat, tetapi renung sejenak bahawa yang akan mendapat tempias daripada kempen boikot adalah orang Melayu sendiri.

Cuba anda pergi ke Mc Donald. Siapakah majoriti pekerja disana? Jawapan : MELAYU.
Cuba anda pergi ke Pizza Hut. Siapakah majoriti pekerja di sana? Jawapan : MELAYU.
Cuba pergi ke Burger King. Siapa majoriti pekerja disana? Jawapan : MELAYU.
Pergi ke Starbuck. Siapa majoriti pekerja di sana? Jawapan : MELAYU.
Pergi ke KFC. Siapakah majoriti pekerja disana? Jawapan : MELAYU.

Apa yang saya ingin katakan disini ialah walaupun pada asasnya restoran-restoran ini sememangnya dari Amerika Syarikat tetapi pada hakikatnya kesemua restoran-restoran ini dimiliki oleh francais tempatan dan malahan ramai diantara pemegang francais adalah orang Melayu ataupun syarikat Bumiputera. Sebagai contoh KFC dan Pizza Hut di Malaysia dan Singapura dimiliki anak syarikat Johor Corporation. Sebagai anak Johor, takkanlah saya hendak melihat sebuah syarikat Johor terjejas perniagaannya.

Jadi sekiranya saya seorang India dan Kristian prihatin, mengapakah yang lain begitu bersedia dan mengajak orang ramai mengambil tindakan untuk menjejaskan perniagaan dimana majoriti pekerjanya adalah orang Melayu ataupun diusahakan oleh orang ataupun syarikat Melayu.

Kalau nak tunjuk belang, pandai-pandailah sedikit. Ini ibarat nyamuk, kelambu dibakar.

Tak ada cara lain ke nak tunjuk bantahan terhadap Amerika Syarikat.

Pernahkah mereka yang memulakan kempen memulaukan barangan dan restoran-restoran berasal dari Amerika Syarikat fikir apa yang akan terjadi jika perniagaan restoran-restoran ini merundum. Ada kemungkinan, pekerja-pekerja restoran ini akan diberhentikan ataupun dikurangkan waktu kerja mereka. Dalam keadaan sedemikian siapa yang susah. Keluarga pekerja ataupun penganjur kempen boikot?

Tidakkah, tuanpunya restoran takut bahawa mungkin ada orang yang akan sengaja memulau restoran Islam yang enggan menjual Coca Cola dan pergi ke restoran India atau Cina sebagai tanda protes mereka. Perlu ingat, bukan semua yang setuju dengan apa yang dibuat oleh Hamas. Lihat bagaimana kerajaan negara-negara Arab kecuali Iran yang membisu dan nyata tidak mahu menolong mahupun menyokong Hamas.

Mengapakah mereka yang melancarkan kempen boikot barangan Amerika Syarikat ataupun Coca Cola tidak memulakan boikot terhadap barangan keluaran Mesir dan Jordan. Tidakkah kedua-dua negara ini mempunyai pertalian diplomatik dengan Israel. Mengapa tidak lancarkan kempen boikot melancong ke Mesir ataupun Jordan.

Kesimpulannya ialah pendekatan memulau Coca Cola bukan satu strategi yang arif lebih-lebih lagi apabila yang berkemungkinan mendapat tempias ialah pekerja dan pengusaha Melayu.

JOM! BOIKOT RESTORAN yang MEMBOIKOT COCA COLA!

No comments:

Post a Comment