Tuesday, January 06, 2009

PERKHIDMATAN CEKAP, EFISYEN DAN SISTEMATIK. MAMPUKAH MBJB MELAKSANAKANNYA ?

Beberapa hari yang dahulu Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Naim Nasir telah menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena sambutan ulang tahun Bandaraya di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru.

Selepas majlis tersebut, Datuk Bandar dipetik mengatakan bahawa “penduduk bandaraya sememangnya mengharapkan perkhidmatan yang cekap, efisyen dan sistematik.”

Jadi persolannya ialah adakah MBJB berkemampuan untuk memberikan perkhidmatan yang cekap, efisyen dan sistematik?

Pada tahun lalu saya telah memulakan blog persendirian saya http://www.johorbahruwatch.blogspotcom/ dengan niat untuk membawa perhatian tentang keadaan persekitaran di bandaraya. Saya memuatkan dalam blog tersebut paparan gambar-gambar seperti tandas awam yang kotor, jalan yang berlubang, longkang yang hilang penutupnya dan sebagainya. Saya mengharapkan dengan tersiarnya komentar dan gambar, pihak MBJB akan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam masa yang terdekat.

Malangnya, pihak MBJB mengambil sikap “lantaklah” ataupun enggan mengambil apa-apa tindakan terhadap isu-isu yang diketengahkan. Sebagai contoh Datuk Bandar pernah beberapa kali ke Taman Perling dan Tampoi Indah tetapi bukannya untuk melawat atau membuat tinjauan ke taman-taman. Bertandangnya ke sana adalah sekadar untuk menghadiri majlis-majlis keramaian.

Jika Datuk Bandar ada bertandang sebagai contoh ke Taman Tampoi Indah dan berjalan meninjau, beliau akan mendapat tahu tentang keadaan longkang besar yang tidak tertutup di Jalan Titiwangsa 3, berdekatan dengan kedai kain Jakel Trading. Pernah saya memuatkan isu ini dalam blog saya. Malahan isu ini telah mendapat perhatian media dan telah dua kali disiarkan dalam suratkhabar. Suratkhabar juga telah menemuramah tuanpunya Jakel Trading yang telah memaklumkan betapa bahayanya longkang tersebut kepada orang ramai dan pengunjung kedai. Beliau juga memberitahu bahawa pernah sekali sebuah kereta terbabas masuk dalam longkang tersebut.

Biar pun, hampir sepuluh bulan telah berlalu semenjak isu ini dimuatkan dalam blog saya dan juga tersiar dalam suratkhabar, MBJB tekad enggan mengambil apa-apa tindakan. Setiap hari minggu, berpusu-pusu orang ke kedai Jakel. Ramai orang dari Singapura juga membeli belah di kedai tersebut. Ramai yang membawa anak-anak. Longkang tersebut ternganga menunggu mangsa. Hanya masa akan menentukan siapakah mangsa pertama yang samada akan mati atau tercedera parah jatuh dalam longkang tersebut.

Saya percaya MBJB enggan membuat sesuatu adalah kerana MBJB rela membayar pampasan daripada membelanja membaiki pulih longkang tersebut. Bukankah itu yang dibuat MBJB apabila MBJB sanggup membayar pampasan kepada seorang warga emas Cina semasa perayaan Chinggay yang mati apabila jatuh dalam longkang yang tidak tertutup. Padahal keadaan sebegitu tidak perlu timbul jika MBJB menjalankan tugas dengan cekap, efisyen dan sistematik. Wang pampasan yang dibayar bukan wang dari kocek Datuk Bandar tetapi wang rakyat yang dibazirkan membayar pampasan akibat kecuaian MBJB sendiri.

Juga, kalaulah Datuk Bandar datang ke Taman Tampoi Indah dan berjalan- jalan di sepanjang Jalan Titiwangsa, Datuk Bandar boleh lihat keadaan longkang yang airnya bertakung, berbau hanyir, tersumbat dan penuh dengan jentik-jentik. Tak perlu pergi jauh. Berhentikan kereta dihadapan kedai 7-11 atau ditepi kedai Jakel Trading dan lihatlah keadaan longkang disana. Cukup jijik keadaan longkangnya. Tapi, bila berlaku kes denggi, bergegas orang-orang MBJB menyembur ubat anti-Aedes. Kalaulah Datuk Bandar dapat meluang sedikit masa datang ke Taman Tampoi Indah dan menjenguk sedikit jejantas dihadapan KIP Mart, Datuk Bandar akan mendapati betapa daifnya keadaan jejantas tersebut. Kotor, tulisan-tulisan lucah, pelekat-pelekat nombor talipon menawarkan seks dan bumbung jejantas yang pecah disana sini dan berlubang menanti Datuk Bandar di sana.

Justeru itu, mesej yang saya ingin sampaikan ialah agar Datuk Bandar jangan sekadar melaung ungkapan-ungkapan di majlis-majlis keramaian tetapi untuk turun sendiri melihat dan meninjau keadaan bukan sahaja di Taman Tampoi Indah tetapi juga di serata bandaraya. Itu bukannya satu yang sukar atau mustahil dilakukan.

Datuk Bandar sendiri mengatakan bahawa warga bandar mengharapkan perkhidmatan “cekap, efisyen dan sistematik” dari MBJB dan memang benar itulah yang di harapkan warga bandaraya pembayar cukai.

Cekap, Efisyen dan Sistematik. Keadaan ini bermula dari Datuk Bandar Johor Bandaraya sendiri .

No comments:

Post a Comment