Tuesday, August 27, 2013



MENUNGGU JOKOWI JOHOR BAHRU

Soalan cepumas : “Siapakah Datuk Bandar Johor Bahru (anda boleh mengganti bandar Johor Bahru dengan bandar anda). Saya yakin hampir semua warga Johor Bahru takkan tahu nama Datuk Bandar Johor Bahru malahan mungkin tidak pernah lihat muncung hidungnya.

Benak hati saya sering bertanya apa sebenarnya tugas seorang Datuk Bandar? Adakah rutin harian ialah mengetik kad kedatangan pejabat tepat jam 8.30 pagi dan melabuhkan punggungnya dikerusi empuk dan sepanjang hari menari pena membelek dan menandatangani surat-surat dan menyemak dokumen. Ataupun tugasnya ialah menyediakan lapuran bulanan dan memakai jubah resmi mempengerusikan mesyuarat Majlis. Mungkinkah juga tugas Datuk Bandar, mengapit pemimpin-pemimpin tinggi kerajaan ketika mereka bertandang ke Johor Bahru.

Sebenarnya apakah itu tugas utama seorang yang diamanahkan tangggungjawab sebagai Datuk Bandar. Itulah yang hendak diketahui warga Johor Bahru.

Betapa bezanya gerak-kerja yang dipikul Datuk Bandar dengan Gabenor Jakarta.

Gabenor Jakarta yang baru, Jojo Widodo alias Jokowi merupakan mantan walikota Kota Solo yang baru setahun dipilih menjadi Gabenor Kota Jakarta.  Seperti Datuk Bandar Johor Bahru yang bertanggungjawab untuk bandaraya Johor Bahru, Jokowi bertanggungjawab untuk Kota Jakarta. Berbeza dengan ramai Datuk Bandar di negara kita yang kerja seharian ialah lebih mengurung diri dalam bilik air-con yang berhias cenderahati dan gambar-gambar keluarga dan gambar-gambar mesyuarat yang dihadirinya, Jokowi lebih mahu bekerja diluar kantor dan tidak kekok kulit dimamah mentari.

Setahun menjadi Gabenor Kota Jakarta, rakyat melihat Jokowi betapa begitu senang hati berjalan-jalan memantau kota Jakarta. Jokowi sendiri ke hulu dan ke hilir memantau kerja yang dijalankan warga kerjanya. Memastikan sampah-sarap dipunggah, longkang-longkang diselia dengan baik. Malahan sudah juga menjadi kebiasan untuk Jokowi masa waktu kerja untuk tiba-tiba masuk ke kantin jabatan dan juga warung menergah warga kerjanya yang sedang ponteng dan melepak disana. Jokowi begitu gigih menyelesaikan masalah warga Kota Jakarta. Jokowi tidak hantar wakil tetapi sendiri turun dan mengadakan pertemuan (blusukan) dengan peniaga-peniaga di Tanah Abang yang pada mulanya enggan berpindah tetapi akur akhirnya untuk berpindah ke satu tempat lain. Ini baru satu contoh. Jokowi sentiasa turun padang menemui, mendekati dan berdialog dengan rakyat. Warga Kota Jakarta merasai akhirnya ada seorang Gabenor Jakarta yang benar-benar berjiwa rakyat dan begitu komited terhadap Kota Jakarta.

Jokowi sendiri turun padang merasai kemacaten yang mencengkam kota Jakarta, mereda jalan-jalan di kota Jakarta yang dilanda banjir. Beliau berkongsi merasai keperitan dan masalah rakyat. Jokowi sendiri masuk ke kawasan-kawasan yang didiami rakyat yang miskin dan sudah pun merangka pelan perumahan untuk mereka. Beliau begitu proaktif mencari dan terus merancang jalan penyelesaian. Untuk kemacetan rancangan untuk monorel sudah diumumkan. Untuk masalah banjir, sudah pun dimaklumkan rancangan. Seperti yang dilakukan ketika menjadi walikota Kota Solo, Jokowi juga mendukung seni dan ingin menjadikan Kota Jakarta sebuah pusat seni seperti Kota Solo. Malahan, beliau mahukan seni dikongsi semua dan justeru itu banyak program seni dijalankan bukan di dewan dan panggung tetapi ditanah-tanah lapang untuk membolehkan rakyat biasa juga menikmati seni.

Disamping itu, Jokowi yang amat prihatin dan mendekati rakyat dan khususnya dengan golongan yang miskin dan terpinggir melaksanakan program-program mesra rakyat seperti program kesihatan gratis, program pendidikan gratis dan pelbagai lagi program.

Setahun menjadi Gabenor Jakarta, rakyat dan kota Jakarta sudah mulai merasa perbezaan. Jakarta sudah mula berubah.Tidak hairanlah Jokowi dinobatkan sebagai Datuk Bandar yang ketiga terbaik didunia. Pernah mana-mana Datuk Bandar dari Malaysia? Malahan, kini ramai yang sedang memujuk Jokowi untuk bertanding jawatan Presiden Indonesia.

Bagaimana dengan Datuk Bandar Johor Bahru. Adakah dia juga seperti Jokowi turun padang. Kalau benar beliau turun ke padang, maka tertanyalah soalan mengapa jalan-jalan di Johor Bahru penuh dengan lubang-lubang jalan. Pada hal jika kita merentas Tambak Johor dan sepanjang 29 kilometer atau setengah jam perjalanan dari Johor Bahru ke Queen Street, Singapura tidak akan kelihatan satu lubang jalan pun mahupun mendapan di jalanraya. Apakah kontraktor Cina Singapura pandai menurap jalan ataupun kontraktor Melayu yang mahir dan berkebolehan dipinggirkan. Ada orang mengatakan singkatan JB itu ialah Jalan Berlubang. Malukan wahai Datuk Bandar ?

Pernah, Datuk Bandar keluar pejabat menjengok sendiri longkang-longkang dan kawasan-kawasan belakang kedai. Bersih ke, wahai Datuk Bandar ? Cubalah lihat, takungan air dalam pasu bunga dekat bus-stop depan pejabat MBJB yang penuh dengan jentik-jentik. Hairankah mengapa banyak kes denggi di Johor Bahru. Mengapa pemerintah kota Singapura boleh membuat kota Singapura begitu bersih tetapi Datuk Bandar Johor Bahru sukar untuk melakukan untuk Johor Bahru. Kadang-kadang saya senyum sendiri melihat billboard yang mengumumkan Johor Bahru bandaraya antarabangsa 2020. Nak turap jalan pun tak boleh buat dengan betul, mengimpikan nak jadi Bandar antarabangsa pula.

Ada orang mengatakan singkatan JB ialah untuk Jenayah Banyak dan sememangnya banyak kes-kes jenayah di Bandar Johor Bahru ? Nak Tanya sikit, agaknya berapa CCTV yang telah dipasang oleh MBJB di tengah bandar untuk memantau kawasan sekeliling. Juga adakah CCTV yang telah dipasang Majlis dalam keadaan baik dan video tangkapannya membantu pihak polis. Sampai hari ini belum saya mendengar penangkapan penjenayah oleh pihak polis berdasarkan maklumat CCTV.

Juga, wahai Datuk Bandar, pergilah mendekati warga miskin yang mendiami PPRT dan flet-flet. Saya pernah ke Flet Larkin. Apakah salah mereka sehingga mereka perlu menghadapi kehidupan sebegini. Sebuah flet yang saya kunjungi berkulat sehingga ke syiling. Lif pula berbau hanyir dek air kencing.

Datuk Bandar, ini juga saya nak tanya. Dalam keghairahan memastikan Johor Bahru penuh dengan kondominium mewah yang mencakar langit dan harga yang tidak mampu beli-milik oleh warga Johor, saya nak tanya jika Datuk Bandar ada juga memastikan adanya padang-padang permainan untuk riadah dan bermain bola.  Pantai Lido anugerah tuhan untuk rakyat, kini tinggal kenangan sahaja kerana sudah tukar wajah menjadi kawasan kondo ekslusif milik orang kaya. Jadi kalau warga setempat nak main bola waktu petang, nak ke mana Datuk Bandar ? Pernah tanya mengapa anak-anak muda lelaki dan perempuan berpeleseran di shopping center ?

Kerana itulah saya seperti ramai warga bandaraya Johor Bahru mengimpikan dan menanti seorang Jokowi untuk Johor Bahru yang akan faham, berkhidmat dan berkomited kepada bandaraya Johor Bahru dan warga Johor Bahru. 

Akhir kata, sesiapa tahu mengapa terburu-buru Datuk Bandar Johor Bahru yang hanya dilantik Ogos 2011 ditukar dengan Datuk Bandar baru pada Julai 2013. Ada apa-apa ke ?

Oh by the way, jawapan pada soalan cepumas ialah Datuk Bandar Johor Bahru sekarang ialah Tuan Hj Ismail Bin Karim.

Selamat bertugas Datuk.


No comments:

Post a Comment